Monday, May 21, 2012

Perasmian Blog



Salam sejatera, salam ceria dan salam hormat.


Proses pencarian ilmu itu seharusnya sejajar dengan pemangkin persekitaran yang menjadikan ilmu tadi enak untuk dirasa. Justeru, seharusnya ilmu yang dihidangkan itu perlulah bersesuaian dengan masa yang berlalu pergi, yang semakin hari semakin pantas melangkah ke hadapan. Oleh yang demikian, blog ini cuba memenuhi aspek di atas sebagai wahana dalam menyampaikan perkembagan ilmu yang ada ataupun yang berkaitan dengannya. Diharapkan perkongsian blog ini dapat membangun dan menyemarakkan lagi proses pembelajaran pelajar ataupun kepada para pengunjung blog ini yang ingin menjana ilmu. Oleh kerana blog ini mengandungi beberapa disiplin ilmu maka saya namakan blog ini "Mardian Academic Galaxy" atau ringkasnya M.A.G.


Hingga kini, MAG mengandungi perkara-perkara seperti pengajaran Bahasa Melayu Korporat, iaitu yang lebih kepada aspek komunikasi korporat dalam membentuk ketrampilan berbahasa, pengajaran Bahasa Melayu Untuk Penutur Asing ataupun khusus untuk pelajar antarabangsa dan juga bidang Fonetik Akustik yang melihat hubungan gelombang bunyi dengan aspek pertuturan manusia atau latar penutur bunyi bahasa tersebut. Selain itu MAG memuatkan beberapa tajuk ceramah yang pernah disampaikan oleh saya sebelum ini seperti di Khazanah Nasional, RTM, ILSAS, UKM dan di UNITEN sendiri.  Bagi mengenali diri saya, pada blog ini juga saya sediakan ruangan biodata agar pengunjung dapat memanfaatkan ilmu-ilmu yang ada dalam blog ini.


Walaupun hajat di hati sudah lama untuk menghasilkan blog seperti ini namun, inilah buat pertama kalinya saya dapat memiliki blog ini dan berkongsi ilmu dan pengalaman saya bersama para pengunjung yang dikasihi sekalian. Justeru, di sini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk mengalungkan rasa penghargaan saya kepada Sdr, Syafiq dan Faiz yang sudi membantu dalam mengilhamciptakan blog yang ada ini. Lebih kurang dalam empat hingga lima hari kami berkampung untuk menghasilkan blog ini. Terima kasih yang tak terhingga. Kepada para pelajar saya yang telah mengambil sebarang kursus dengan saya anda boleh melayari blog ini bagi melihat hasil kerja anda yang dipaparkan di dada MAG. Bagi para pelajar yang akan menjalani kursus bersama saya tidak kira dalam mana-mana bidang, "Selamat Datang dan Selamat Melayari MAG" saya ucapkan. Semoga anda dapat memanfaatkan ilmu yang ada dalam meningkatkan proses pembelajaran anda.


Akhir kalam, saya mengharapkan semua pengunjung MAG akan berpuas hati dengan apa yang dihidangkan dan mendapat sesuatu yang baik daripadanya. Jadi, saya juga menyeru lebih ramai lagi bekas pelajar dan para pelajar yang akan datang untuk menyertai MAG. Dengan penyertaan anda pastinya akan menyemarak dan memeriahkan lagi kehadiran MAG, insyaallah. Untuk itu, pada tanggal 12 Zulhijjah bersamaan 19 November 2010, saya dengan lafaz "bismillahhirahmannirrahim" merasmikan blog Mardian Academic Galaxy ini. Sekian, salam ceria, salam semanis rasa.




DR MARDIAN SHAH OMAR



No comments:

Post a Comment