Friday, November 19, 2010

Salam 1 Malaysia Salam 1 Bahasa



Gagasan konsep 1 Malaysia sejajar dengan konsep memiliki dan menganuti satu bahasa, iaitu bahasa Malaysia dalam persekitaran masyarakat majmuk yang ada di negara kita ini. Persoalannya di sini, adakah usaha ke arah memiliki dan menganuti satu bahasa ini seiring dengan pelaksanaan konsep 1  Malaysia ini? Lantaran, penggunaan Bahasa Malaysia sebagai alat perpaduan bangsa harus disemarakkan lagi, harus dibangkitkan semula walaupun usaha ke arah perkara ini pernah dilaksanakan suatu ketika dahulu. Usaha atau gagasan ini akan sukar untuk dicapai sekiranya setiap individu yang ada di bumi bertuah ini tidak saling berganding bahu, tidak saling memecahkan ruyung dalam merealisasikan gagasan tersebut.


Kita faham dan kita maklum, terdapat beberapa badan yang giat mencanangkan usaha ini. Namun, walaupun gendang tetap dipalu dengan pelbagai rentak tanpa adanya penari di lantai tari, pastinya seni gerak tari yang hendak disampaikan akan pincang jadinya. Begitu juga dengan alunan dan paluan gendang yang mengasyikkan akan sumbang kedengarannya. Dalam hal ini kita tidak boleh bertepuk sebelah tangan. Malah kita perlu turut sama terlibat, turut sama "turun padang" dalam menggapai hasrat ini.


Sebagai genersi muda, khususnya para pelajar ataupun mahasiswa dan mahasiswi seharusnya gigih memperjuangkan hak dan harta pusaka yang kita ada ini kerana hilang bahasa pincanglah bangsa. Dalam hal ini para pelajar tidak seharusnya bersifat ditelan mati emak diluah mati bapa, penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris boleh berjalan seiring namun sebagai para intelek, para pelajar seharusnya tahu memberikan keutamaan mengikut keadaan. Oleh kerana keutamaan tidak diselaraskan dengan keadaan, maka inilah yang menyebabkan Bahasa Malaysia semakin dihimpit ke belakang, semakin hilang dari pandangan. Apatah lagi bahasa yang ada hari ini digolakkan lagi dengan sindrom "bahasa rojak".  Jadi, generasi muda hari ini perlu bangkit dan lebih bersemangat dalam merealisasikan gagasan atau konsep 1 Malaysia 1 Bahasa ini. Ayuh, kita orakkan langkah, kita gapaikan tangan. Nescaya harapan akan menjadi kenyataan.


Sekian, wassalam.


"Bahasa Jiwa Bangsa"
DR MARDIAN SHAH OMAR

No comments:

Post a Comment