Friday, June 15, 2012

PROFILE PENCERAMAH

PROFILE PENCERAMAH

Dr Mardian Shah Omar merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Bahasa dan Komunikasi, Institut Kajian Liberal Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Putrajaya. Memperolehi Ijazah Sarjana Muda dari Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dalam bidang Pengajian Bahasa Melayu. Memperolehi MA in Linguistics dari University of Leeds, United Kingdom dan PhD. dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Linguistik, fokus kepada disiplin Fonetik Akustik – Pengujaran Bunyi Bahasa. Hingga kini beliau telah menghasilkan tiga buah buku, iaitu Fonetik dan Fonologi terbitan PTS Professional, Bahasa Melayu Untuk Penutur Asing Buku 1 dan 2 terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Selain menghasilkan buku, beliau juga menulis bab dalam buku – Linguistik dan Pembudayaan Melayu, DBP serta beberapa artikel yang dimuatkan di dalam jurnal. Pernah dihantar sebagai Felo Kehormat ke University of Wisconsin USA pada 2006 semasa berkhidmat di Institut Alam dan Tamadun Melayu, UKM. Selain pernah berkhidmat sebagai pensyarah di USM dan Penyelaras Program Pengajaran Bahasa Melayu Untuk Penutur Asing di UKM, Dr Mardian Shah Omar juga pernah menjadi pensyarah jemputan di University of York, England. Selain itu, beliau juga pernah diambil sebagai pensyarah sambilan di Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, UKM, Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) dan juga di Fakulti Pertuturan dan Audiologi, USM Kubang Kerian, Kelantan.


Beliau sering dijemput sebagai penceramah bebas dalam menyampaikan tajuk-tajuk seperti Penulisan RasmiYang Berkesan, Penulisan Kreatif, Ketrampilan dan Gaya Berbahasa, Komunikasi Berkesan dan Pengucapan Awam, Pengacaraan Majlis, Kepimpinan dan Penganjuran Majlis dan banyak lagi. Pernah dijemput sebagai penceramah di Khazanah Nasional, Institut Latihan Sultan Ahmad Shah, badan-badan khas di UKM mahupun di UNITEN. Di samping menjadi seorang pensyarah dalam bidang Bahasa dan Komunikasi Korporat, Dr Mardian Shah Omar juga merupakan Pengacara Universiti di UNITEN dan juga sebagai pengacara bebas bagi majlis-majlis rasmi di Putrajaya mahupun di majlis-majlis perkahwinan yang besar. Beliau juga pernah suatu ketika dahulu menjadi pengacara rancangan televisyen RTM. Pada zaman sekolahnya, beliau pernah menyandang gelaran johan dan naib johan pertandingan pidato Piala Diraja dan naib johan bagi Pidato Terbuka USM semasa di universiti. Selain itu, beliau juga pernah memenangi anugerah sebagai pembentang kertas kerja terbaik di Seminar Antarabangsa Danga Bay 2008, Felo Terbaik di UKM dan Jurulatih Terbaik, juga di UKM. Dengan pengalaman beliau yang luas dalam bidang pengucapan awam dan penyediaan teks-teks ucapan, nescaya beliau dapat berkongsi pengalaman dalam tujuan memperkasa dan melestarikan penguasaan dan ketrampilan berbahasa seseorang individu tersebut. Begitu juga dengan latar pendidikan yang beliau miliki, sudah pasti beliau mampu menyuntik dan menjana idea serta dapat memberikan tunjuk ajar yang lebih sistematik, berkesan dan terkini.